Tuesday, September 8, 2009

DIARI: ERTI MERDEKA

Macam hari jumaat biasa, lepas dengar azan baru bergegas keluar rumah. “Zooooom”, bunyi keretaku membelah angin. Tiba-tiba momentumku terhenti. “Aiseh man, JAM lah pulak!”, rungutku sendiri . Terpaksalah kali ni solat kat masjid kampung sah tak sempat nak sampai kat masjid uniten. Kali pertama aku cuba solat kat sini. Boleh tahan ramai juga jemaah yang berkumpul dekat masjid ni. Tanpa berlengah-lengah ku mencelah para jemaah masjid mencari ruang kosong untuk melabuhkan punggungku ini. Fuh, lega teramat..


Setelah azan kedua dilaungkan khutbah pun bermula. “Tajuk khutbah kali ini adalah penghayatan terhadap Hari Kemerdekaan”, kata mimbar. “Ah tajuk bosan lagi, gerenti tidur lentok punya” , rungutku lagi. “Apakah ertinya kemerdekaan?”, kata mimbar lagi dengan suara yang tegas. Aku tertarik dengan persoalan itu. “Mengapa umat islam di Malaysia masih lagi dibelenggu masalah kemunduran walaupun sudah lama mencapai kemerdekaan? Mengapa mentality kita seolah-olah masih lagi dijajah? Bagaimana pula dengan saudara2 kita yang sedang susah yang tidak dapat merasai nikmat merdeka seperti kita?”, persoalan demi persoalan yang dilepaskan seolah-olah seperti peluru yang ditembak khas untuk menyentak hatiku dan para jemaah lain. Fikiranku mula melayang-layang terbawa-bawa dengan persoalan-persoalan itu.


Aku mula terbayang-bayang muka saudara-saudaraku yang sedang susah di serata dunia. Saudara-saudaraku di Palestine pada masa ini sedang dalam ketakutan diancam pihak zionis yang diburu bagaikan binatang siang dan malam. Bagaimana pula keadaan saudaraku di Iraq yang sedang berhadapan dengan kemelut dalaman akibat campur tangan syaitan bertopengkan manusia. Di Afrika pula masyarakat mereka menghadapi isu ‘starvation’ dan krisis wabak penyakit.


Tetapi aku di sini sebaliknya pula, masih lagi bersenang-senang dengan nikmat yang dikurniakan tuhan. Siang malam aku leka dibuai keindahan dunia dan hiburan pula dijadikan teman. Mengapa aku seringkali terlupakan nasib saudara-saudaraku diluar sana? Bukankah dengan adanya nikmat kemerdekaan ini adanya juga satu tanggungjawab? Adakah aku akan dihukum tuhan di hari pembalasan kerna alpa dan berlepas tangan?

Ku fikir balik betapa untungnya kita dikurniakan kemerdekaan, bukan sahaja kemerdekaan terhadap penjajah yang sudah lama menjajah tanah air kita malah terhadap masalah seperti kelaparan dan jua peperangan. Tetapi malangnya mentality kita masih lagi dijajah dengan hiburan dan urusan seharian yang melalaikan. Mengapa kita masih lagi mundur walaupun setelah lama mencapai kemerdekaan? Mengapa kita berpeluk tubuh dan enggan memberi bantuan?

Sedarlah umatku kemerdekaan ini adalah amanah tuhan…
bangkitlah umatku menyahut seruan,
bersatulah umatku melangkahkan gerakan,
bersamalah umatku menuju kejayaan…


Dalam tidak sedar mataku mula berkaca-kaca dan tersentakku dari lamunan mendengar iqamah dilaungkan. Aku bangkit menyahutnya dan solat jumaat pun dimulakan. Hanyut kami dalam kekhusyukkan melaksanakan ibadah……


LUQY88 9/9/09

No comments:

Post a Comment